Pages

Sunday, May 23, 2010

Wanita dicipta melengkapkan kehidupan lelaki



WANITA dalam Islam mempunyai martabat yang tersendiri malah penciptaannya mempunyai rahsia, hikmah serta keistimewaan. Mereka bukan sahaja sebagai pelengkap kehidupan kaum adam tetapi juga penerus generasi manusia di alam ini.

Namun keistimewaan wanita bukanlah sampai ke tahap untuk diagungkan dan kelemahan mereka juga bukan bererti untuk dipijak dan ditindas.

Melihat asal kejadiannya juga yang dicipta dari sebahagian rusuk Nabi Adam a.s, ia tidak dicipta dari kepala kerana mereka bukan makhluk yang perlu dijunjung dan tidak juga diciptakan dari kaki kerana mereka bukan untuk dihina. Tetapi mereka dicipta daripada anggota yang dekat di hati untuk sayangi dan dilindungi.

Namun sejarah wanita dalam pelbagai tamadun dunia memperlihatkan pelbagai evolusi. Sama ada di bumi Arab, India dan China, sejarah wanita menyaksikan mereka menjadi pemuas nafsu kaum lelaki, dinafikan haknya dalam pemilikan harta, pendidikan, sosial dan sebagainya.

Kehadiran Islam meletakkan kedudukan mereka bersesuaian dengan fitrah kejadiannya. Mereka memiliki kekuatan tersembunyi yang sangat diperlukan oleh kaum lelaki sebagai penyempurna kehidupan.
Wanita pada hari ini juga sentiasa berhadapan dengan cabaran dan mampu mencabar golongan lelaki dalam pelbagai bidang terutama kerjaya.

Namun, pada masa yang sama tanggung jawab utama sebagai isteri dan ibu menuntut kepada perhatia dan kualiti yang sewajarnya.Peranan ibu bapa tidak pernah terhenti selagi nyawa di kandung badan. Pelbagai budaya hedonisme yang melingkari kehidupan masyarakat pada hari ini memerlukan ibu bapa mempertingkatkan ilmu serta bijak menangani perubahan minda dan sikap anak-anak.

Justeru, tidak ada erti pencen dalam mendidik anak-anak bagi ibu bapa waima anak itu telah berkahwin.

Transisi dunia kanak-kanak kepada remaja juga perlu difahami oleh ibu bapa supaya mendekati mereka dengan lebih berhemah dan menjadikan mereka sebagai sahabat.

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 33 adalah antara panduan yang perlu dijadikan panduan dalam pendidikan anak-anak: Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah suatu hari (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah SWT adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.

No comments:

Post a Comment

 

Blogger